Wednesday, November 09, 2005

Bab 1

Kokokan ayam jantan mengejutkan Harlina, kedinginan subuh membaluti tubuhnya yang kecil. Azan subuh belum lagi berkumandang, tapi ibunya sudah pun di dapur. Harlina bangun dan menuju ke bilik air di hujung dapur. Ibunya sedang bersiap-siap hendak ke surau. Ayahnya sudah ada di tanah.
'Cepat la Senah oi, karang dah azan, awak tu jalan lambat,' suara Pak Abas memecah kesunyian subuh.
'Ye lah, pagi-pagi dah bising aje awak ni. Na, nanti tutup pintu ye, karang masuk pula si Kutat,' kecoh Mak Senah di pagi hari adalah kebiasaannya. Harlina tersenyum sambil mengangguk.

'Assalamualaikum warah matullah,' ucap Harlina memberi salam. Dia menadah tangan memohon doa pada Ilahi. Setelah itu Quran di capai dan dibacanya perlahan.

Bunyi piring pecah, memberhentikan pembacaannya. Di bukanya telekung dan segera ke dapur. Terbeliak mata Harlina, melihat si Kutat di atas meja.
'Ala ko ni Kutat, abislah mak aku marah nanti, kalau ye pun lapar nanti lah.' Marah Harlina pada ayam jantan yang suka mencuri masuk. Kutat berlari-lari di sekeliling dapur, Harlina makin geram, dengan cepat pintu di buka, dan Kutat secepat kilat berlari ke kebun di belakang rumah. Tahi ayam bertompok di atas lantai. Marah Harlina makin menjadi.
'Eeee, pakalla ko ni ayam, kalu tak memang aku dah sepak-sepak ko,' bebel Harlina sambil mencuci kesan najis si Kutat.

Langit semakin cerah, Mak Senah dan Pak Abas pun sudah pulang dari surau. Harlina keluar ke belakang bersama sebekas nasi sejuk.
'Krohhh, krohhh...mari makan, ayam-ayam semua, meh sini makan,' panggil Harlina, kelihatan sekumpulan ayam dan anak ayam berlari-lari merapati nasi sejuk yang di tabur.
'Aaa makan sama-sama, jangan gaduh-gaduh, Kundur, garang sangat awak ni, kesian si Labu' setiap ayam yang berjumlah 10 ekor ada namanya. Harlina rajin menamakan semua ayam-ayamnya itu.

Pak Abas keluar dengan parang terselit di pinggangnya. Jalannya pantas saja. Walau usianya sudah menjangkau 60 tahun, namun dia dikurniakan seraut wajah yang tenang dan badan yang masih tegap. Kebun yang sebesar 2 ekar, yang melaut kebelakang di tanam berbagai-bagai pokok, ada pokok durian, pokok manggis, pokok rambutan, juga sayur-sayurang dan ulam-ulaman. Semuanya di jaga sendiri oleh Pak Abas. Dialah yang menebas, dialah juga yang menyemai dan membajai semua tanaman yang tumbuh sihat. Kadang dari pagi sehingga tengahari dia akan berbakti pada kebunnya. Membakar lalang dan daun-daun mati. Kebunnya terjaga dan bersih.

Harlina menyapu di halaman. Itu lah tugasnya setiap pagi. Sebenarnya Harlina baru selesai belajar di universiti. Walau sudah berpucuk surat meminta kerja di layangkan, belum satu pun yang sangkut. Kadang hatinya gusar juga, sudah belajar penat-penat, bila pula hendak merasai duit gaji sendiri. Kadang dia mengeluh mengenang nasibnya. Teman-teman sekuliah ramai yang sudah bekerja. Tapi nasib seakan tidak menyebelahi Harlina. Nak kata keputusannya tidak bagus, ramai juga kawan-kawannya yang mendapat keputusan lebih teruk dari dia. Si Melah, dari kampung sebelah sudah pun bekerja di Kuala Lumpur, dengan gaji RM2200 sebulan. Setiap kali Mak Som bertandang ke rumah, seakan boleh di lihat lubang hidungnya yang kembang semangkuk, bangga dengan kejayaan si Melah. Kalau nak ikutkan si Melah tu, SPM pun tidak lepas, segulung ijazah pun tiada di tangannya. Begitulah nasib dan rezeki seseorang itu. Bagaimana kehidupan ini di atur oleh yang maha Agung.

Sebuah kereta mewah berwarna hitam berhenti di laman rumah. Harlina yang sedang menyiram bunga menjenguk dari jauh. 'Siapa pula, pagi-pagi Sabtu ni, nak tanya jalan barangkali' getus hatinya sendiri. Seorang pemuda berpakaian kemas keluar dari kereta dan melambai-lambai ke arah Harlina.'Ish apa hal pulak ni,'
'Ada apa cik ?' tanya Harlina sebaik sahaja mereka bertemu di tengah laman. Dua mata bertentangan seketika. Raut wajah lelaki di hadapannya membuatkan jantungnya berdebar.
'Saya nak tanya, mana rumah Pak Abas ?' tuturnya lembut, di akhiri dengan satu senyuman amat manis. Bagai hendak luruh jantung Harlina.
'Er..er Pak Abas Marjat ke ?'
'Ye la kot, dulu dia prebet'
'Oh, kalau macam tu, bapa saya lah, cik dah bertemu pun dengan rumahnya.'
'Aduh nasib baik, sebenarnya bapa saya sahabat baik bapa cik,'
'Oh camtu, eh masuklah, park kereta kat depan sana, Pak Abas ada di kebun, nanti saya panggilkan.'

Mak Senah keluar di pintu dapur. 'Siapa Na ?'
'Kawan ayah,' jawabnya dan terus menuju ke kebun.

Mak Senah berlenggang menuju ke halaman. Hatinya bagai digaru, mahu tahu siapakah gerangan yang berkunjung di pagi Sabtu. Pintu kereta dibuka, memancar kilatan tambah pula di panah matahari yang baru naik segalah. Sepatu hitam Clarks bergeser dengan batu kerikil. Seluar hitam yang di seterika, bersait tajam. 'Orang kaya mana pulak ni' bisik hati Mak Senah.

'Kak Senah, apa khabar ?' ucap lelaki yang berpakaian kemas dan berbau wangian Aramis.
Lelaki muda tadi berdiri di sebelahnya tersenyum.
Mak Senah mengerutkan dahinya. Matanya kecil, dia cuba mengingati siapa lelaki kaya di depannya itu.
'Kak Senah, tak ingat saya ke ? Saya la, Zakaria, kawan Abang Abas, sama-sama masa 13 Mei. 'Ya Allah ! Kiya.... mana aku nak kenal kan main berkilat kereta kau.' Zakaria tergelak besar mendengar celoteh Mak Senah. Pak Abas jalan laju-laju menuju ke arah mereka. Harlina tertinggal jauh di belakang.
'Abang Abas...' laung Zakaria.
'Ya Rabbi, Kiya oi, apa mimpi kau datang jumpa aku ni,' Pak Abas tersenyum gembira. Mereka bersalaman dan berpelukan. Pak Abas menyeka air matanya yang turun. Dia gembira, sudah hampir 30 tahun mereka tidak bertemu.

Lelaki muda tadi mengerling Harlina, dia juga tersenyum, jelas terpamer kegembiraan di wajahnya yang tampan itu. Harlina membalas senyuman, malu-malu.
'Mari-mari, naik ke rumah, ini anak kau Zakaria ?'
'Ye bang, ini Akasyah'
Oh Akasyah namanya, bisik Harlina, padan benar nama dengan orangnya.
'Ha ini pula anak dara aku, Harlina.' Kedua-dua menoleh, Zakaria tersenyum, Akasyah tersengih. Cantik anak dara Pak Abas ye.
'Emm anak Abang, si Azman tu mana ? Di sini ke ?'
'Dak, dia di KL nu, jarang balik sini, sibuk kerja ngan anak-anak, sesekali je balik, si Ridhuan di Moroco, askar cam kita'
'Oo, misi pengamanan di sana, dah lama ke ?'
'Ala baru 6 bulan.'
Harlina menuang teh o ke setiap cawan. Dia terasa dirinya di perhati, memang benar Akasyah memerhati terus setiap gerak geri si gadis desa di depannya.
'Jemputlah,' ucap dia perlahan lantas ke dapur. Mak Senah yang dari tadi riuh bercerita berhenti dan mengikut Harlina ke dapur.
'Na, nanti kau ke kebun ambilkan sayur kacang panjang dengan cili. Mak nak masak lemak ikan dengan kacang panjang.'
'Ye lah mak.'
Raga di hayun perlahan-lahan. Si Kutat berdiri di atas tunggul kayu memerhatikan dirinya.
'Awak nak ke mana ?' tanya Akasyah. Entah masa bila dia turun ke bawah, tak tahu pula. Berkepul asap rokok di tangannya. Melihat Harlina memerhatikan ke arah itu, segera di jatuhkan ke tanah lantas mengesek-gesek puntung rokok itu.
'Nak ke belakang, petik sayur,'
'Boleh saya ikut ?'
'Jom lah' balas Harlina ringkas.
'Besarnya kebun Pak Abas,' ujarnya sebaik melangkah masuk ke kawasan kebun.
'Tempat dia ni, saya pun jarang ke sini, masuk pun sebab nak petik sayur je, tu pun dia supervise, takut saya rosakkan pokok dia.' ramah Harlina berbicara. Akasyah tersenyum. '..kalau nak makan rambutan petik je lah, jangan malu-malu,' sambung Harlina lagi.
Akasyah memerhati sekeliling, ada satu jambak rambutan yang sudah masak, merah cantik menanti di petik.
'Em, sedapnya, isi dia lekang, dah tu tebal plak,'
'Makan la, kalau kat KL nak makan buah kena bayar, sini petik je.'
Akasyah memerhati Harlina memetik kacang panjang yang tumbuh di antara pancang-pancang kayu. Dia suka melihat kelembutan yang ada pada gadis itu. Dia bagai terkesima melihat jari-jari halus yang runcing itu memetik tangkai-tangkai kacang panjang itu.
'Ok saya dah siap, awak nak makan buah, duduk la sini lagi, atau meh kita petik banyak sikit nanti boleh makan di rumah.'
'Boleh juga, sedap sangat rambutan ni.'
Akasyah memegang galah, dia tampak agak kekok. Harlina tersengih memerli.
'Tu yang atas sana tu, dah masak,' sengaja Harlina menyuruh mengait buah-buah yang tinggi-tinggi. Terhoyong-hayang jugalah galah tu. Harlina tergelak kecil, menyedari dirinya di ketawakan Akasyah mendapat satu akal.
'Aduh,'
'Kenapa ?' teriak Harlina.
'Ni jari saya tergeliat, jari ni memang problem skit, dah pernah patah.'
Dengan cepat Harlina merampas galah dari tangan Akasyah. 'Jari mana ?'
'Jari hantu, aduh sakitnya.'
'Alamak, meh sini, maaf ye saya pegang sikit. Tahan tau.'
Dengan kuat Harlina merentap jari itu. Dia menelan air liur, memanglah jari tu tak tergeliat, dia hanya hendak mengenakan Harlina, tapi tak di sangka-sangka, panjang akal juga si Harlina ni.
Di tahan air mata dari menitis, aduh sakitnya. Berdenyut-denyut terasa di bekas yang patah dulu tu.
'Ok tak ?'
'Sakit...'
'Sakit lagi, ni mesti tak kena gaya, meh saya tarik lagi.'
'Eh .. eh tak pe, ok dah, nanti ok lah.'
Fuh, aku nak kenakan dia, aku pulak yang terkena. Sambil berjalan itu Akasyah tersenyum, di sebalik kesakitan yang di rasakan, timbul satu perasaan suka dari benaknya.
'Hai lamanya petik sayur...' bidas Mak Senah laser. Dia menjeling Harlina. Tapi setelah melihat Akasyah di belakangnya, jelingan bertukar senyuman. Harlina geram.
'Ha mari lekas kita masak, cepat masak cepat boleh makan , ye tak Akasyah. Kamu naik la dulu, nah bawak rambutan ni naik atas.'
'Baik makcik, terima kasih.'
Harlina bingkas mengupas bawang merah yang dah dilonggokkan Mak Senah di meja dapur.
Ikan tenggiri masak lemak dengan kacang panjang, sambal tumis udang dengan petai, ulam raja dengan sambal belacan, pekasam goren garing, beserta nasi panas-panas; menu tenghari tu.
Perut Akasyah berkeroncong.
'Bang, dah siap, jemput semua makan,' pelawa Mak Senah dari tengah rumah.
'Mari..mari, lapar dah perut ni, mana taknya dah pukul 12.30.' Sibuk Pak Abas mepelawa tetamunya.
'Hai Kak Senah, tak makan sama ke , Harlina ?'
Harlina hanya mengeleng.
'Makan la dulu, kami karang-karang pun boleh,' jawab Mak Senah.
'Makan,' perlahan Akasyah mengajak.
'Makan dulu, nak sudu ke ? Jari dah ok ?'
'Tak payahlah ok dah ni, terima kasih.'

0 Comments:

Post a Comment

<< Home