Bab 4
Akasyah merenung keluar tingkap. Bukit makin gondol. Ada saja projek. Sesekali dia merenung ke komputer. Sarah, sekretari cuti hari ini. Dari pintu kaca biliknya dia melihat pekerja-pekerja tekun, bekerja atau bermain game tak tahulah. Sesekali dahi dikerutkan. Konflik jiwa. Fikirannya kacau. Dia mencapai telefon, dan mendail nombor ayahnya. Tiada jawapan. Dia mencuba lagi. Deringan yang pertama terus di angkat.
'Hello,'
'Ayah ? ok ke ?'
'Ok la, kenapa ? Aku tengah dalam lif tadi.'
'Is it ok to talk now ?'
'Ok, apa hal?'
'Ayah, weekend ni jom pi minang anak Pak Abas.' Zakaria yang sedang berjalan tiba-tiba terhenti. Dia tersenyum lebar. Akasyah diam menanti.
'Alo, ayah ? Ada ke ni ?'
'Ada, ada, aku terkejut dan seronok...' Akasyah tersengih. Itulah yang menganggu jiwa dia kebelakangan ini. '...La ni jugak aku telefon Pak Abas bagitau kita nak pergi hari Sabtu ni,' terdengar suara ceria di belah sana.
Setelah mengakhiri perbualan itu, Zakaria yang hendak ke kedai Kaki Pancing di Kompleks Shah Alam, terus membatalkan niatnya. Dia hendak balik ke rumah, banyak perkara perlu di siapkan. Kak Temah la kena buat semua persiapan, aku mengarah saja, getus hati Zakaria, merujuk pada pembantu rumah yang sudah berkerja lebih dua puluh tahun.
Dari ruang tamu Zakaria melaung memanggil nama Mak Temah. Mak Temah yang sedang asyik melayan lagu Siputih Kuning nyanyian R. Azmi melalui Klasik FM, terkejut. Dia segera keluar ke ruang makan. Apa saja si Zakaria ni.
'Kenapa Encik ?' cemas dia bertanya. Tapi agak kehairanan melihat senyuman di wajah Zakaria yang sudah di anggap seperti adik.
'Kak, Akasyah nak kawin...'
'Hah, alhamdulillah, dengan siapa ?'
'Dengan budak yang datang hari tu,' dia menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya. Di capainya air kosong yang memang tersedia.
'Oh, si Harlina, cantik, bersopan budak tu, bertuah encik dapat bermenantukan dia.'
Zakaria tersengih mengangguk.
'Tapi Kak, masalah sikit, si Akasyah ni punya kemaruk nak kawin, dia ajak aku pergi meminang Sabtu ni.'
'La apa pulak masalah,' Mak Temah pun duduk di kerusi. Badannya yang tembam itu dengan struktur kaki yang agak kecil membuatkan dia cepat lenguh apabila berdiri lama.
'Ye la, hari ni dah Selasa, kita ada 4 hari je nak bersiap.'
Mak Temah diam, betul juga. Masa suntuk benar.
'Apa pulak, kita pergi merisik, bawak cincin merisik, bawa 2..3 barang. Betul tak cakap akak ni ?'
Zakaria merenung muka bulat di depannya. Dia senyum dan mengangguk.
'Betul, saya suka sangat tadi, terus ingat nak bawak barang-barang untuk bertunang.'
'Esok, akak panggil si Kiah , dia pandai buat-buat barang hantaran.'
'Ha, bagus juga, esok bila si Kiah sampai, kita bincang apa barang nak beli. Cincin pulak biar si Akasyah yang cari. Ok settle problem aku. Dah aku nak naik nak baring tunggu Zohor.' katanya lalu meneguk air mati.
Pak Abas meletakkan ganggang telefon. Mak Senah dari tadi tidak senang duduk mahu tahu apa cerita sebenar. Pak Abas senyum.
'Hai, tak lama lagi awak dapat menantu orang KL lah.'
'Apa kata si Zakaria tu ?'
'Depa nak datang merisik Sabtu ni.'
'Sungguh ke ni bang ?'
'La, betul lah, takan aku nak bergurau pulak.'
'Macam tu kalu, kena panggil si Leha, Kendut dengan si Busu..'
'Nak buat apa ???'
'Aiii, nak menolong masak la, kita buat la jamuan sikit, hish awak ni..'
'Aaa, ye tak ye...eh si Harlina mana ?
Telefon berbunyi menandakan ada SMS. Harlina yang sedang melipat kain, mencapai telefonnya di kepala katil.
'Sabtu ni I nak datang rumah.' Apa hal pulak, ada kerja di Kulim lagi ke ? getus hatinya. Dia membalas sms Akasyah itu, ringkas saja. Sejurus selepas itu, telefon berdering, siapa lagi kalau bukan Akasyah.
'Hello,'
'Nak datang ? Ada kerja ke ?'
'Ada urusan dengan Pak Abas dan Mak Senah.' Harlina pelik, bila masa pulak ada projek dengan mak dan ayah ni.
'Apa hal ??'
'Emm...' dia menghela nafas. Tadi masa telefon ayahnya, agak susah dia nak melafaskan perkataan meminang, ini dengan tuan punya badan lagilah terasa payah. Harlina menanti, dadanya berdebar sebenarnya.
'Na...you percaya pada cinta pandang pertama kan ?' alamak ...macam drama melayu da, ahhh belasah je lah.
Harlina ketawa kecil.
'Tak tau la nak kata, tapi dalam drama melayu ada.' Akasyah ketawa berdekah.
'Ok la camni, i nak kahwin dengan you, Sabtu ni, kami nak p sana.' fuh lega, terkeluar juga hasrat hati. Harlina terdiam. Suka. Dia membetulkan duduknya.
'Na.. alo .. alo..????'
'Ada ni, cuma terperanjat.'
'Oooo ingat kan dah pengsan.'
'Ada pulak pengsan.'
'Mana la tau..suka sangat sampai terpengsan.'
'Ish,'
'Ok la so seriously, adakah you terima lamaran I untuk menjadi permaisuri hati ini ?'
Harlina ketawa. Dia gugup.
'Jawapannya....Sabtu ini.' Akasyah tersenyum mendengarkan bicara Harlina. Terima la tu....cakap terus kan senang.
Kain tidak jadi dilipat. Dia termenung di birai katil. Dia bangun ke arah tingkap. Termangu dia di situ. Memang dia sukakan Akasyah, tapi benda terjadi terlalu pantas. Dia baru mengenali lelaki itu tidak sampai 6 bulan. Belum lagi dia kenal hati budi. Memang dari mata kasar nampak elok. Dia menghela nafas. Hembusan angin petang bertiup perlahan menyapa dirinya. Hatinya tidak menentu. Inikah jodohnya. Adakah ini yang sudah tertulis di Luh Mahfuz.
Mak Senah berdiri di muka pintu bilik, melihat Harlina yang jauh melayang. Dalam suka, dia terasa sedih, kalau sudah sampai jodoh anaknya dimiliki orang, dia akan berpisah sementara dengan anak kesayangannya itu. Satu-satunya anak perempuan, mereka banyak berkongsi hal-hal perempuan.
'Na,' panggil Mak Senah perlahan. Harlina menoleh. Dilihat wajah tua yang ceria itu.
'Kau tau dah ?' Harlina mengangguk perlahan. '..macam mana ?' sambungnya lagi.
'Entah la mak, Na ni kerja pun tak dapat lagi, pastu Akasyah pun Na tak kenal betul-betul, camna nak kahwin.'
Mak Senah duduk di hujung katil.
'Mak dengan ayah dulu kawin lagi tak kenal, tengok muka pun masa hari nikah tu lah. Tapi tengok, sampai sekarang kekal. Kasih sayang pun lagi bertambah, lagi tua, lagi sayang.' Harlina tersenyum.
'Memang la Na suka Akasyah tu, tapi dia dok KL, nanti kalau Na kawin dengan dia, mak macam mana ?'
'Hai...kau dah besar, takan nak duk bawah ketiak mak lagi.' Harlina ketawa kecil. Dia duduk di sebelah Mak Senah.
'Ala, mak ni,' dia memeluk tubuh ibunya. Mereka berdakapan seketika.
'Nanti, jadi isteri solehah ya..jangan derhaka pada suami.' Harlina mencium pipi Mak Senah.
'Ala mak ni, Na tak cakap pun lagi nak kawin,'
'Eh eh budak ni..'
Pagi-pagi lagi di dapur semua orang kecoh. Mak Senah sibuk membasuh daging. Busu dan Kendut mengupas bawang. Leha di luar sedang menggoreng kerisik. Pak Abas keluar masuk, entah apa yang disibukkan, ada saja. Harlina di halau keluar dari dapur. Dia sebentar lagi akan di dandan oleh Wati, sepupunya yang merupakan mak andam di kampung itu.
'Na, baju mana kau nak pakai nanti ?' tanya Wati sambil melihat-lihat baju yang tergantung di dalam almari pakaian.
'Tak tau la Kak Wati, Na rasa nak pakai baju kebaya sulam ni.' Dia menayangkan sepasang Kebaya berwarna ungu muda dengan sulam bunga tabur. Cantik.
'Aaa, cantik.'
'Ala baju masa konvo hari tu.'
'Ok, nanti akak mekap kan muka kau tu, biar lagi cun.'
'Tapi jangan tebal akak, nipis je ye..'
'Ye lah, aku nak buat kau jadi cam Kak Normalas tu,' mereka ketawa terkekek.
Hari ini Akasyah tidak memandu, sebaliknya kawannya Shahrin. Mereka berempat semuanya, Zakaria dan Mak Temah di belakang, memangku dulang hantaran. Tiga dulang perak di hias cantik. Satu di isi buah, satu lagi di isi kuih dan coklat .Dulang ke tiga di tengah-tengah antara mereka, untuk di letakkan cincin. Perjalanan lancar sahaja. Cuaca juga molek, tidak panas dan tidak pula hujan. Akasyah lebih banyak berdiam sahaja, macam-macam dalam fikirannya. Shahrin yang rajin melayan cakap Zakaria. Mak Temah awal-awal lagi dah tidur.
'Masuk simpang depan tu Shah,' arah Akasyah.
'Yang ni, ?'
'Tak yang depan sana...'
'Aaa ok ok...'
'Oooo Kak, dah nak sampai dah ni....' kejut Zakaria.
Mak Temah terjaga. Dulang yang tadi atas ribanya kini di sebelahnya.
Kereta masuk ke jalan kampung, Shahrin memandu perlahan.
Semua sudah siap. Makanan dah pun siap, tinggal tunggu di hidang sahaja. Mak Senah dah pun bersalin pakaian, berbaju kurung biru, sedondon dengan Pak Abas yang berbelaju Melayu biru berkain pelekat kuning air. Harlina sudah siap di dandan, tinggal menanti sang putera sahaja.
Pak Abas bersama Pak Uteh dan Pak Usu bersembang-sembang di serambi rumah. Melihat sebuah kereta masuk ke laman, Pak Abas berenti berbicara. 'Hah, mereka dah sampai,' katanya lalu turun ke tanah. Keluar sahaja Zakaria, mereka bersalaman dan berpelukan. Ketawa riang.
'Apa kabar Pakcik,' kata Akasyah sambil menyalam Pak Abas.
'Baik..baik..mari..mari naik rumah.'
'Ni kawan saya Shahrin,'
'Oh, mari nak, jadi drebar kamu ye hari ni.' Shahrin tersenyum.
'Kalau Akasyah bawak pakcik, pukul 10 tadi dah sampai, tak sabar nanti dia pecut.' Pak Abas dan Zakaria ketawa kuat. Wah bukan main gembira. Mak Temah pun senyum-senyum suka.
Harlina yang dalam bilik kecut perut. Tangannya sejuk.
'Apa saya nak buat ni ?'
'Dok diam dah la, nanti kalau depa tanya hang nak kawin ka, hang jawab la ya ka, mau ka, tak mau ka...'
'Hish Kak Wati ni..'
Tetamu di persilakan naik, mereka di perkenalkan oleh Pak Abas. Suasana gembira menyelubungi rumah itu. Mak Senah pula berbual-bual dengan Mak Temah. Wati mengintai dari dalam. Dia tercari-cari bakal pengantin. Matanya terhenti pada Shahrin, satu-satunya lelaki yang muda di situ. La, awat la, tak padan sungguh.
'Akak tengok apa ?'
'Aku dok mengintai laki hang la...' Macam mana la si Harlina ni tengok, takdak mata sungguh la budak ni, getus hatinya lagi.
'Kami ni datang berhajat, Abang.' Mula Zakaria setelah lama berbasa-basi. Keadaan santai tadi tiba-tiba bertukar menjadi mood serius. Semua mata tertumpu ke arah Zakaria. Pak Abas terangguk-angguk.
'Ni, bawak hajat besar, untuk anak laki-laki saya ni.' Akasyah yang tadi memang tidak banyak bicara, tersenyum.
'Dengarnya di sini ada sekuntum bunga sedang mekar..' kata-kata Zakaria di sambut senyum dan ketawa kecil mereka yang berkumpul di ruang tamu itu. Mak Senah tersengih-sengih.
'Kalau diizinkan inginlah kami memetik buat penghias di rumah kami, tambah berseri nanti, tak gitu Abang Abas.'
'Di rumah ni bunga ada 2 kuntum, tapi yang satu saya dah sunting, tu tak boleh la,' seloroh Pak Abas, Mak Senah menjeling malu, Mak Temah mencuit pehanya, mereka sama-sama ketawa kecil. Yang lain juga ketawa. Akasyah ketawa kuat. 'Jadinya, tinggallah yang satu lagi. Yang itu ke maksud kamu Kiya ?'
'Betul ke Akasyah ?' Akasyah mengangguk. Terasa semua mata tertumpu padanya.
'Hah betui la Abang Abas, hat satu tu lah. Jadi apa jawabnya ? Sudi ke atau macam mana ?'
'Itu kena tanya pada si bunga sendiri, kalau saya yang jawab, tak kena pulak.'
'Maknya, tanyakan pada si Harlina.' arah Pak Abas. Mak Senah bangun, dia mengajak Mak Temah. Harlina diam di kerusi meja solek. Dadanya berdebar.
Harlina bangun dan bersalaman dengan Mak Temah.
'Apa kabar Mak Temah.' ucapnya.
'Baik,' dia mendakap dan mencium pipi Harlina.
'Camna ? Apa kata kamu, tu pihak laki-laki tengah menunggu.' aju Mak Senah.
'Emm, saya ikut mak saja lah,' jawabnya malu-malu. Wati diam saja.
'Kalau ikut mak, mak terima,' Harlina senyum.
'Setuju la tu kak...' sapa Mak Temah. Mereka berdua senyum syukur.
Di ruang tamu mereka berbual-bual kosong sementara menanti jawapan si bunga. Melihat kehadiran Mak Senah, semua terdiam. Akasyah menanti jawapan.
'Dia tak cakap apa...,' mula Mak Senah. Akasyah tersentak. Dia menanti lagi sambungan kata-kata Mak Senah.
'...tapi dia senyum.'
'Hah, kalau senyum tu, setuju la tu,' sambut Zakaria. 'Ok Akasyah, bunga mau kat hang,' selorohnya lagi. Ketawa lagi. Akasyah menghela nafas lega. Jawapan yang di tunggu dah terbongkar.
'Jadinya kami nak beri cincin tanda la Abang Abas, dan juga boleh la kita bincang perkara seterusnya.'
'Cincin tu, kalau tak menjadi halangan, Akasyah nak beri sendiri pada Harlina,' terang Zakaria lagi.
'Boleh, tak jadi masalah. Mak Senah, persilakan Akasyah.'
Akasyah di iringi Mak Senah, Mak Temah dan Shahrin merangkap jurugambar, menuju ke kamar Harlina.
Mak Senah masuk dulu, diikuti yang lain-lain. Harlina yang agak kurang bersedia terkejut dengan kehadiran mereka. Wati juga terkejut, dan lebih terkejut melihat bakal pengantin yang sebenar. Kalau yang inilah baru padan.
Akasyah mengunjukkan dulang berisi sebentuk cincin kepada Harlina. 'Terima kasih,' ucapnya perlahan. Mata mereka bertentangan seketika. Tiada bicara, cuma hati mereka yang berbicara rindu.
'Udah tu dulu, kang meletup mata tu,' seloroh Wati, di sambut ketawa riang mereka yang berada di dalam kamar.
'Weh Kasyah, hang berdiri sini, pose la skit, aa , rapat skit,' Shahrin mengarah bagaikan jurugambar profesional.
'Aaa, makcik, mari masuk, saya nak tangkap gambar.' Peristiwa di abadikan dalam kamera digital. Shahrin sibuk menjalankan tugasnya sebagai jurugambar. Gambar-gambar itu yang akan menjadikan kenangan mengamit memori di masa-masa akan datang.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home